KOTA BHARU – Sebanyak 31 notis dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan kepada pemilik pasar raya dan peniaga sayur di pasar-pasar tumpuan di seluruh negeri Kelantan berikutan kenaikan harga barangan keperluan antaranya bawang pada Januari lalu.
Pengarahnya, Adnan Abd Rahman berkata, notis bertujuan mendapatkan punca kenaikan harga yang berlaku bermula bulan lalu.
“Sebanyak 31 notis sudah dikeluarkan dan hasil maklum balas oleh peniaga mendapati kenaikan harga berpunca berikutan kenaikan kos daripada pembekal.
“Kos naik kerana banjir yang melanda pantai timur Semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, susulan itu juga pihaknya bertindak menyekat kenaikan harga barangan keperluan daripada berterusan menjelang sambutan perayaan Tahun Baharu Cina 2021 pada Jumaat ini.
“Harga sebanyak 16 jenis barangan akan dikawal menerusi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2021.
“Barangan tersebut adalah ayam hidup, ayam standard, telur ayam gred A, B, C, kobis bulat import, cili merah, tomato, bawang putih, ubi kentang import, ikan bawal putih dan udang putih besar,” katanya.
Beliau berkata, harga babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja), daging babi (perut), daging babi (daging dan lemak) turut dikawal.
“SHMMP Tahun Baharu Cina 2021 berkuat kuasa selama sembilan hari iaitu empat hari sebelum dan selepas perayaan serta pada hari perayaan.
“Saya mengingatkan peniaga supaya tidak menaikkan harga tanpa alasan-alasan yang munasabah dengan niat untuk membuat keuntungan tinggi atau berlebihan,” katanya.
Tegasnya, mereka yang ingkar boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Sumber: Sinar Harian