Sanggup hilang pelanggan daripada dikompaun

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: “Saya akan bersikap tegas dan harap pelanggan patuh dengan SOP (prosedur operasi standard) kedai makan.

“Saya sanggup kehilangan pelanggan sekiranya ada pelanggan yang tidak memberi kerjasama daripada dikenakan kompaun,” kata pengusaha kedai makan,Muhd Syahid Saari, 39.

Katanya, keputusan kerajaan membenarkan pelanggan makan di kedai adalah sesuatu yang sangat melegakan pengusaha kedai makan dan restoran di negeri ini kerana ia dapat membantu memulihkan semula ekonomi yang terjejas teruk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, sejak dua minggu PKP, dia terpaksa menanggung kerugian lebih RM10,000 selain ‘merehatkan’ beberapa pekerja berikutan tidak mampu membayar gaji.

Menurutnya, walaupun operasi kedai makan dibenarkan sepanjang tempoh PKP, hasil perniagaan menerusi konsep bungkus dan bawa pulang tidak mampu menampung modal dan membayar gaji pekerja.

Katanya, bagi mengelak dikenakan tindakan, dia yang menjalankan perniagaan sejak Ogos tahun lalu akan mematuhi setiap SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam masa sama katanya, dia berharap pelanggan dapat memberi kerjasama dan mematuhi setiap SOP yang dikeluarkan terhadap kedai makan.

“Kebanyakan pelanggan yang datang secara berkeluarga dan golongan remaja. Disebabkan dua pelanggan sahaja yang dibenarkan makan untuk satu meja, saya terpaksa membuat SOP sendiri di mana setiap pelanggan dihadkan masa untuk berada dalam kedai terutama pada waktu puncak.

“SOP ini dibuat bagi membolehkan pelanggan lain masuk dan makan di kedai,” katanya yang berniaga makanan barat dan masakan panas.

Tinjauan Harian Metro hari ini mendapati rata-rata peniaga ditemui melahirkan rasa gembira kerana ia dapat membantu memulihkan semula ekonomi yang terjejas teruk sepanjang pelaksanaan PKP.

Sumber: My Metro