Jangan cantum meja

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Polis memberi amaran kepada pelanggan di restoran, kedai makan dan gerai supaya tidak mencantumkan meja ketika berada di premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, tindakan mencantumkan meja sehingga melebihi dua orang seperti yang ditetapkan boleh dikompaun kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP).

Sehubungan itu, katanya, pelanggan yang berada di premis makanan diminta mematuhi SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu dua pelanggan setiap satu meja.

“Saya beri amaran bahawa polis akan bertindak tegas dengan mengeluarkan kompaun sekiranya didapati ada pelanggan yang bertindak mencantumkan meja.

“Dalam hal ini, patuhi kebenaran yang dikeluarkan pihak berkuasa dan mengikut SOP iaitu mengisi maklumat dan melakukan pemeriksaan suhu badan sebaik memasuki premis,” katanya kepada media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Operasi Bersepadu Perdana yang memberi tumpuan pencegahan jenayah dan pematuhan SOP di sekitar bandar Kuantan.

Mengulas operasi berkenaan, beliau berkata, pihaknya mempertingkatkan pemantauan sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang memberi tumpuan kepada membanteras kegiatan jenayah di bank dan kedai emas di daerah itu.

Katanya, operasi berkenaan diharap membantu pelanggan di kedua-dua premis itu daripada menjadi mangsa penjenayah.

“Ini kerana dua premis berkenaan menjadi sasaran penjenayah melakukan kegiatan terbabit selepas pelanggan selesai berurusan.

“Sebanyak 15pasukan unit kenderaan pelbagai guna (MPV) ditugaskan melakukan pemantauan SOP di daerah ini secara berkala.

“Kita sudah mengenal pasti 75 lokasi terpilih termasuk taman perumahan yang perlu diberi perhatian dan pemantauan serta rondaan secara berterusan dilakukan,” katanya.

Sumber: My Metro