Datuk Bandar Kuantan Berazam Jadikan Kuantan Pusat Pelaburan Penting Negara

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

YH. Dato’ Hamdan Hussin menandatangani surat pelantikan Datuk Bandar pada ada Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan dan Perasmian Kompleks Bandaraya Kuantan hari ini.

KUANTAN, 21 FEBRUARI 2021: Datuk Bandar pertama Majlis Bandaraya Kuantan, YH. Dato’ Hamdan Hussin berazam untuk menjadikan Kuantan sebagai salah satu pusat pelaburan yang penting di negara ini.

YH. Dato’ Hamdan berkata, beliau akan berusaha untuk memastikan segala amanat Kerajaan Negeri dapat dijayakan dan akhirnya Kuantan akan dapat menjadi satu bandar raya yang setanding dengan bandar raya yang lain di negara ini.

“Sesungguhnya seperti yang dititah oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Kuantan tidak harus hanya pada nama bandar raya sahaja, namun menumpukan usaha ke arah kesejahteraan rakyat.

“Justeru sudah tentu kita akan melaksanakan perkhidmatan yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat, meningkatkan kemakmuran ekonomi dan hubungan komuniti yang baik. Ini adalah menjadi harapan untuk mempastikan bandar raya ini dapat kita bangunkan,” katanya.

Datuk Bandar Kuantan, YH. Dato’ Hamdan Hussin

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan dan Perasmian Kompleks Bandaraya Kuantan di sini hari ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah hari ini berkenan mengisytiharkan Kuantan sebagai bandar raya dan merasmikan Kompleks Bandaraya Kuantan.

Turut berangkat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

YH. Dato’ Hamdan Hussin mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan dan Perasmian Kompleks Bandaraya Kuantan di Kuantan hari ini.

Hadir sama, YAB. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang ditemani isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB. Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin, Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Dato’ Saifuddin Abdullah, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Sementara itu, beliau berkata, untuk memperoleh status bandar raya ini merupakan satu usaha yang berpanjangan oleh semua pihak.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang telah memberi segala sokongan dan juga menyediakan pelbagai keperluan untuk Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dinaiktaraf kepada Majlis Bandaraya Kuantan.

Datuk Bandar Kuantan, YH. Dato’ Hamdan Hussin bersamaPengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda selepas Majlis Pemasyhuran Bandaraya Kuantan dan Perasmian Kompleks Bandaraya Kuantan di Kuantan hari ini.

“InsyaAllah saya akan berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh untuk memastikan kuantan ini akhirnya akan menjadi satu bandar raya yang setanding dengan bandar raya lain di negara ini selain menjadi pusat pelaburan dari dalam dan luar negara,” katanya.

YH. Dato’ Hamdan sebelum ini adalah Yang Dipertua MPK sejak Jun 2019 sebelum dilantik menjadi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan yang pertama berkuatkuasa hari ini.

Sumber: Pahang Media