Hampir setiap hari lakonannya menghiasi kaca televisyen, nama Janna Nick pasti tidak asing lagi dalam kalangan penonton termasuk warganet di media sosial.
Terbaru, nama Janna dan Sharifah Sakinah ‘trending’ di Twitter apabila salah seorang peminat hiburan Korea atau K-popers telah memuat naik semula video yang pernah menjadi kontroversi pada awal 2018.
Didakwa persenda kematian artis Korea?
Menerusi video tersebut, kedua-dua pelakon itu berada di sebuah salon sebelum Sakinah melemparkan pertanyaan kepada Janna yang membuat rawatan rambut menjadi warna ‘blonde’.
“Ini yang mati tu kan?,” soal Sakinah.
Walau bagaimanapun, menjengah ke akaun Instagram Janna atau nama sebenar Nurul Jannah Muner, dia telah memuat naik satu video untuk menjelaskan apa yang berlaku ketika tiga tahun lalu.
Menerusi video berdurasi 11 minit itu, Janna mengakui dia memang tidak tahu dengan apa yang ditanya oleh Sakinah kerana keadaan di salon agak bising ketika itu.
Tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan, aktres berusia 26 tahun itu memohon maaf sambil bersumpah memegang al-Quran bagi menjernihkan situasi terutama dalam kalangan peminat K-pop.
Tambah pelakon drama Marry Me Senorita itu, dia tidak akan terus berdiam kerana kecaman yang diberikan terlalu kasar sehingga membabitkan ibunya.
Terdahulu, Sakinah juga pernah tampil memohon maaf kepada peminat K-pop selepas didakwa menghina kematian anggota kumpulan SHINee iaitu Jonghyun pada 18 Disember 2017.
Sumber: OhMyMedia