KUANTAN, 22 FEBRUARI 2021: Seramai 15 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dikuarantin di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) mula menduduki peperiksaan berkenaan hari ini.
Rektor KUIPSAS, Ybhg. Prof. Madya Dr. Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin berkata, empat lagi calon SPM yang baru tiba dari Temerloh dan Bentong namun tidak menduduki SPM pada hari ini kerana menjalani ujian calitan (swab test) pagi tadi sebelum dibenarkan menduduki peperiksaan.
“Seramai 15 orang calon yang mengambil peperiksaan pagi ini adalah bebas COVID-19, tetapi mereka ditetapkan mengambil SPM di sini sehingga tamat peperiksaan pada 25 Mac depan.
“Mereka juga berada di ‘yellow-zone’ berbanding empat lagi calon diasingkan di ‘red-zone’ dan semua kelengkapan peperiksaan, keperluan harian termasuk makan dan minum disediakan selengkapnya di pusat ini,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini hari ini.
Menurutnya, walaupun bebas COVID-19 namun semua pelajar yang terdiri daripada 13 orang lelaki dan enam perempuan itu perlu mematuhi operasi prosedur standard (SOP) ketat yang telah ditetapkan dengan kawalan 53 orang anggota keselamatan daripada agensi terlibat.
Agensi-agensi yang bertugas ialah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Radicare dan kakitangan dari KUIPSAS sendiri yang bertugas secara syif.
Sementara itu, Prof. Madya Dr. Haji Mohd Zawavi memberitahu bahawa semua pelajar di pusat ini menerima layanan serta perhatian yang sangat baik daripada pemimpin Kerajaan Negeri.
“Kelas tambahan semua subjek turut disediakan kepada mereka secara maya dan tiada kekurangan di pusat ini untuk mereka tekun mengulangkaji pelajaran.
“Daripada segi kos keperluan di sini tidak menjadi masalah di mana pusat ini menerima RM10,000 sumbangan dari Kerajaan Negeri melalui YAB Menteri Besar Pahang, RM10,000 dari Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) selain kehadiran YB Setiausaha Kerajaan Negeri serta Timbalannya yang sentiasa prihatin dengan pelajar yang ditempatkan di sini.
“Pelajar juga menerima sumbangan makanan dan keperluan dari barisan pemimpin Kerajaan Negeri (Exco-exco) yang turut meluangkan masa memberi semangat kepada mereka,” katanya.
Katanya lagi, selaku tuan rumah KUIPSAS merasa amat bangga kerana dipilih sebagai satu-satunya pusat kuarantin di negara ini yang dapat membantu para calon menduduki SPM dengan lengkap dan selesa.
“Sesungguhnya ini adalah satu inisiatif terbaik Kerajaan Negeri yang peka dan prihatin dalam membantu pelajar-pelajar ini menduduki peperiksaan SPM dalam situasi pandemik yang belum berakhir.
“Mereka masih boleh belajar dalam suasana yang tenang dan aman serta dibantu dari pelbagai aspek bagi memastikan mereka juga mampu mencipta kejayaan dalam menghadapi situasi luar biasa akibat COVID-19,” katanya.
Sumber: PAHANGMEDIA