Taman tema Genting SkyWorlds bakal dibuka kepada orang ramai pada suku kedua 2021 sekali gus dijangka merancakkan semula sektor pelancongan Malaysia.
Ketua Operasi Perniagaan dan Strategi, Resorts World Genting, Lee Thiam Kit berkata, ia bakal menjadi taman tema luar yang menguja dan mengasyikkan pada ketinggian 6,000 kaki dari aras laut.
Katanya, ini turut menjadikan Genting SkyWorlds sebagai antara taman tema paling unik, bukan saja di rantau ini, malah di peringkat global.
“Genting SkyWorlds menelan perbelanjaan kos kira-kira AS$800 juta (RM3.23 bilion) dan ia hasil kerja keras bertahun lamanya dan dedikasi pasukan kami dan rakan kerjasama dari serata dunia.
“Ketika ini kami sedang melaksanakan persiapan terakhir untuk taman tema yang paling dinanti-nantikan di Asia Tenggara.
“Kami yakin Genting SkyWorlds akan menawarkan pengalaman yang terbaik kepada pengunjung sepanjang perjalanan ini,” katanya pada majlis memperkenalkan logo Genting SkyWorlds rasmi secara maya di sini, kelmarin.
Lee berkata, untuk permulaan, Genting SkyWorlds akan dibuka kepada rakyat tempatan, namun ia turut dibuka kepada pelancong luar selepas sempadan dibuka oleh kerajaan.
Sementara itu, Edward berkata, Genting SkyWorlds bakal membawa pengunjung mengembara ke sembilan ‘alam’ yang diinspirasikan dari filem dan pengembaraan, Eagle Mountain, Central Park, Liberty Lane, Robots Rivet Town, Andromeda Base, Ice Age, Studio Plaza, Epic dan Rio.
Selain daripada Hak Intelek (IP) tulen dan menarik yang dimiliki sendiri, Genting SkyWorlds juga menggabungkan jenama dan IP daripada 20th Century Studios di dalam permainan dan tarikan bertaraf dunia, yang dijayakan melalui kerjasama strategik antara Genting Malaysia dan 20th Century Studios.
Antara IP yang ditampilkan ialah Ice Age, Night at the Museum dan Planet of the Apes.
Sumber: My Metro