Rumah warga emas dipenuhi 9 guni wang berjumlah RM49,555

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
BIYOK mengumpul wang itu sejak 1990-an. – AGENSI

PADANG, 16 Rejab 1442 H, Ahad: Sebanyak sembilan guni wang berisi 174 juta rupiah (RM49,555) sudah dikira sekali gus menjadikan jumlah wang yang ditemui di rumah warga emas di Kampung Tigo Diate, Payukumbuh, Sumatera Barat semakin bertambah. 

Lapor Kompas.com, kisah Palyuri yang mesra dipanggil Biyok, 81, menjadi tular sejak beberapa hari lalu apabila orang ramai membantunya mengira jumlah duit dalam sebelas guni yang ditemui di rumahnya. 

Rabu lalu, wang yang berjaya ditemui adalah sebanyak 80 juta rupiah (RM22,925) dalam satu guni hasil simpanan yang dikumpul selama bertahun-tahun.  

Ketua Kampung Tigo Koto, Musleniyetti berkata, seramai 16 orang datang membantu mengira wang tersebut termasuk ahli keluarganya ketika guni pertama ditemui. 

“Ketika wang itu dikira, kita sudah menemui sebanyak sembilan guni dengan 174 juta rupiah dan masih ada dua guni yang belum dikira. 

“Dia menyimpan wang sudah lama, mungkin sejak 1990-an kerana terdapat wang lama serta satu guni yang mempunyai nilai matawang yang sudah tidak laku,” katanya. 

Musleniyetti menyarankan wang tersebut disimpan dalam bank kerana mendatangkan risiko terhadap keselamatan warga emas itu, apatah lagi, dia pernah dirompak pada tujuh tahun lalu. 

“Pak Biyok pernah dirompak dan lehernya dikelar. Ketika kejadian, perompak berpura-pura mengajaknya ke acara pernikahan sebelum dirompak oleh pemboncengnya di tengah perjalanan. Mujur ada penduduk yang melihat kejadian itu dan membawanya ke hospital,” jelasnya.