Gempa bumi Jepun, tiada kematian direkodkan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
KEADAAN bangunan yang rosak dapat dilihat di Fukushima akibat gegaran gempa bumi. -AFP

Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga memaklumkan tiada kematian dilaporkan susulan gempa bumi yang menggegarkan pantai Timur Jepun, berhampiran Fukushima semalam.

Lapor The Washington Post, gempa bumi 7.0 skala Richter itu menyebabkan lebih 100 orang cedera dan tiada amaran Tsunami dikeluarkan.

Bencana alam itu menyebabkan berjuta-juta penduduk berada dalam kegelapan tanpa bekalan eletrik di wilayah itu dan laluan jalan terpaksa ditutup serta perkhidmatan kereta api dihentikan.

Gempa itu turut menggegarkan kawasan utara Hokkaido hingga wilayah Chugoku di barat Jepun.

Gegaran itu turut dirasakan di Tokyo sekitar 30 saat bermula pada pukul 11:08 malam, tetapi gegaran paling kuat berlaku di Fukushima dan Miyagi.

Gempa bumi yang melanda Tokyo dan sembilan wilayah lain berada dalam tempoh darurat bagi membendung penularan Covid-19 dan penduduk digalakkan bekerja dari rumah serta mengelakkan diri keluar pada waktu malam, sementara restoran dan bar ditutup pada pukul 8 malam.

Pejabat Perdana Menteri dengan segera menyediakan pejabat pengurusan bencana dan Syarikat Bekalan Elektrik Tokyo (Tepco) yang mengendalikan loji nuklear memberitahu pihaknya memantau loji Fukushima bagi memastikan tiada kebocoran radiasi.

Kejadian itu berlaku tidak sampai sebulan sebelum ulang tahun ke-10 gempa bumi Timur Laut Jepun dan bencana nuklear Fukushima.

Kejadian itu merupakan peringatan terhadap bencana alam yang berlaku pada 2011, apabila gempa bumi dan tsunami 8.9 skala Richter yang jauh lebih dahsyat melanda Jepun sehingga menyebabkan lebih 16,000 orang terbunuh.

Selepas kejadian itu, bencana nuklear pula melanda Fukushima sehingga memaksa 164,000 orang melarikan diri dan dipindahkan.