MARANG – Penduduk luar bandar yang memiliki tanah terbiar di negeri ini digalakkan untuk mengusahakan tanaman durian, terutama Musang King.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, potensi masa depan tanaman komoditi berkenaan adalah sangat tinggi, selain mampu memperoleh pendapatan ratusan ribu bagi setiap musim.
Katanya, langkah itu bukan saja mampu memperoleh pendapatan tinggi, malah permintaan terhadap ‘raja buah’ itu sangat menggalakkan.
“Jumlah tanaman durian yang ada di Terengganu sekarang ini termasuk dengan keluasan kebun durian 2,000 ekar di Kampung Jerung masih tidak mencukupi untuk pasaran tempatan.
“Kerana faktor itu juga, kerajaan masih belum memikirkan untuk mengeksport durian ke mana-mana negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Cantuman Durian sempena Program Pemantapan Modal Ihsan Untuk Petani dan Pekebun di Kampung Bukit Jerung, di sini.
Menurutnya, kerajaan mengambil beberapa langkah dengan menawarkan kursus berkaitan secara percuma kepada pekebun durian di negeri ini.
“Seperti apa yang diajar hari ini adalah kursus cantuman anak durian, cantuman pokok dewasa, mengenali kualiti tanah dan kawalan makhluk perosak.
“Pendekatan itu, saya yakin pendapatan pekebun bukan saja bertambah, malah berupaya memperoleh hasil durian lebih bermutu, memendekkan jangka masa berbuah daripada tujuh tahun kepada dua tahun.
“Apa yang lebih penting, berbuah di luar musim atau dengan kata lain mampu mengeluarkan hasil dua kali setahun berbanding setahun sekali sebelum ini,” katanya.
Sumber: TRDI News