KUANTAN : Sikap tidak bertangggungjawab penerima Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang tidak membayar kembali rumah diterima menyebabkan hutang tertunggak di negeri Pahang telah mencecah RM2.2 juta.
Timbalan Menteri Kewangan II, YB. Tuan Mohd Shahar Abdullah berkata, jumlah berkenaan melibatkan sebanyak 1,500 akaun. “Saya meminta agar semua penerima RMR untuk menjelaskan bayaran pinjaman yang ditetapkan mengikut jadual.
“Setelah rumah siap dibina, penerima rumah mesti memastikan bayaran ansuran dijelaskan mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan agar tidak tertunggak dan akan memberi masalah pada masa hadapan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Inden Kerja RMR 2021, Peringkat Parlimen Paya Besar, di sini.
Sebanyak 46 Inden kerja bernilai RM3.2 juta diserahkan kepada kontraktor pada majlis itu. Turut hadir, Ketua Wanita Umno Paya Besar, YH. Dato’ Safariah Awang Ngah; Pengarah SPNB Pahang, YH. Dato’ Ahmad Islanizam A. Halim serta pemimpin setempat.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berharap agar semua kontraktor yang terpilih membina Rumah Mesra Rakyat (RMR) Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menyiapkan kesemua unit yang dibina mengikut jadual.
“Komitmen tinggi kontraktor diperlukan bagi memastikan setiap unit ini disiapkan mengikut jadual seterusnya memberi peluang kepada rakyat mendapat tempat tinggal yang sempurna dan bantuan dari Kerajaan Pusat sampai kepada yang sepatutnya.
“Kita mahu kerja-kerja dimulakan segera selepas inden disampaikan dan tidak menangguhkan pembinaan bagi memastikan ia siap mengikut jadual kerana inden kerja adalah selama tiga bulan sahaja,” katanya.
Katanya lagi, jika timbul sebarang masalah, kontraktor boleh berbincang dengan pegawai SPNB bagi memastikan ia dapat ditangani dengan sempurna. “Dengan cara ini, masalah yang timbul dapat diatasi dengan sempurna dan semua pihak mendapat manfaat,”katanya.
Sumber: PAHANG MEDIA