SYRIA, 18 REJAB 1442 H, SELASA: Terdapat satu laporan baru yang diterbitkan oleh Syria Relief, salah satu NGO terkemuka di Syria, telah mendedahkan sejauh mana kadar gangguan tekanan pasca-trauma (PTSD) dan masalah kesihatan mental terhadap orang-orang yang kehilangan tempat tinggal dan para pelarian.
Menurut NGO itu, kajian yang dijalankan menunjukkan 99% pelarian di kawasan Idlib, mengalami gejala PTSD.
PBB menganggarkan bahawa 40 peratus penduduk Idlib yang berjumlah tiga juta adalah pelarian yang telah kehilangan tempat tinggal selama konflik Syria yang berlaku selama sepuluh tahun.
Penyelidikan ini juga menunjukkan bahawa 74 peratus pelarian Syria yang tinggal di Lebanon juga mengalami gejala PTSD, sebagaimana yang disebut organisasi itu sebagai “krisis PTSD Syria”.
” Walaupun telah berlalunya satu setengah tahun, kami masih takut. Mendengar perkataan ‘serangan udara’ sahaja pun membuat orang di kem ini takut ‘ – Ahmed, 31
Laporan itu juga menganalisis sokongan kesihatan mental yang sememangnya pernah belaku untuk penderita. Menurut kajian, pelarian di Turki mempunyai akses yang lebih baik terhadap perkhidmatan kesihatan mental, dengan 64% mengatakan mereka mempunyai sumber sokongan.
Situasi ini sangat berbeza dengan pelarian yang tinggal di Lebanon, di mana hanya 15% sahaja yang percaya bahawa mereka memperoleh sokongan kesihatan mental yang disediakan buat mereka. Manakala hanya 1% pelarian di Idlib, mengatakan mereka mampu mencari sokongan.
Beberapa gejala yang dialami oleh mereka termasuk merasakan seperti peristiwa itu berlaku lagi, mengelakkan orang atau aktiviti yang mengingatkan anda tentang peristiwa itu, tekanan fizikal atau emosi yang kuat, keadaan emosi negatif yang berterusan, dan tingkah laku sembrono atau merosakkan diri atau orang lain.
Berdasarkan perkongsian salah seorang responden iaitu Ahmed, berumur 31 tahun yang berada di Idlib, dia mengatakan dia menjadi takut meskipun hanya mendengar bunyi suara pintu ditutup setelah kejadian bom dijatuhkan oleh pasukan pemerintah Syria berhampiran kedainya.
“Saya menyaksikan lebih daripada 31 serangan udara yang melancarkan 400 roket … Saya kehilangan lutut kerana ini. Saya masih tidak dapat berjalan … Walaupun selepas satu setengah tahun, kami masih takut. Bahkan mendengar kata ‘serangan udara’ membuat orang di kem IDP ini takut,” katanya.
Shamash, yang terpaksa meninggalkan Aleppo akibat pengeboman , menceritakan pengalamanya tinggal di khemah di Lebanon telah membuatnya sangat tertekan.
“Di kem ini, kami sangat memerlukan bantuan kesihatan mental. Kami semua tertekan. Kami tidak mempunyai pekerjaan, tidak ada apa yang boleh dibuat.. Kami tidak pernah aman, hidup kami perlu sentiasa berjaga-jaga … Anda tidak dapat membandingkan hidup di khemah dengan tinggal di rumah, kami hidup seperti haiwan di sini. “
Lubnan adalah rumah bagi sekitar 879,000 pelarian Syria yang berdaftar, menjadikannya jumlah pelarian per kapita terbesar di dunia. Turki pula menjadi tuan rumah kepada 3.6 juta pelarian Syria.
Menurut tinjauan yang dilakukan oleh Syria Relief, dukungan yang diberikan kepada para pelarian di Lubnan sangat sedikit disebabkan oleh krisis ekonomi di negara itu, dan semakin kurang disebabkan pandemik koronavirus dan letupan di pelabuhan Beirut pada bulan Ogos 2020.
Tinjauan mendapati bahawa di sebalik usaha NGO, masih ada jurang yang besar untuk diisi berkaitan perkhidmatan kesihatan mental bagi orang yang tinggal di Syria, Turki dan Lebanon.
Pihak Syria Relief telah menemui 721 pelarian di tiga negara. Charles Lawley, pengarang laporan itu, mengatakan kerosakan akibat konflik tersebar luas, dan kesannya tidak terhad pada bangunan dan kota-kota yang musnah sahaja.
“Meskipun senjata dan bom diam seketika dan bangunan dalam proses pembaikian, masih terdapat kerosakan yang berlanjutan akibat konflik yang mana tidak mudah untuk dipulihkan kerana kerosakan ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar – kerosakan ini adalah kerosakan mental bagi orang yang terlibat dalam peperangan , ”Katanya dalam satu kenyataan.
Badan amal yang berpusat di UK itu meminta dukungan dan sokongan yang lebih besar buat para pelarian dan mereka yang kehilangan tempat tinggal, dengan menekankan bahawa ramai mangsa konflik di Syria, Turki dan Lubnan menunjukkan gejala PTSD tetapi mereka hanya mendapat sedikit sokongan.
Badan amal itu meminta pemerintah dan badan-badan antarabangsa untuk meningkatkan jumlah bantuann dana mereka bagi membantu mereka yang terkesan untuk projek kesihatan mental ini. Selain itu pihak Syria Relief menggesa semua pihak yang terlibat dalam peperangan atau sekutu luar mereka, menghentikan keganasan kerana perang telah terbukti menjadi punca krisis PTSD.
Antara salah satu tuntutan utama laporan ini adalah agar kerajaan UK membatalkan rancangannya untuk memotong bantuan, dan sebaliknya menumpukan lebih banyak dana untuk menyediakan peruntukan kesihatan mental kepada mangsa yang sangat memerlukan.
Perang saudara Syria bermula hampir satu dekad yang lalu dan sejak itu telah memberi kesan terhadap berjuta-juta orang, dengan sekitar 6.6 juta pelarian telah melarikan diri dari negara ini dan 6.1 juta lagi yang kehilangan tempat tinggal.
Tidak ada angka yang tepat untuk jumlah mereka yang terbunuh semasa perang, tetapi pada tahun 2018, dianggarkan hampir setengah juta kematian telah berlaku. – Middle East Eye