Switzerland undi larangan pemakaian burqa

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Switzerland mengundi untuk melarang pemakaian burqa di tempat awam. – Foto AFP

GENEVA, 24 Rejab 1442 H, Isnin : Negara Switzerland telah mengundi untuk melarang pemakaian burqa di tempat awam, biarpun wanita memakai pakaian yang menutup muka itu jarang kelihatan di negara terbabit.

Undian menunjukkan majoriti tipis menyokong langkah itu, dalam satu pungutan suara yang diadakan selepas perdebatan bertahun-tahun berikutan larangan serupa di negara eropah lain dan beberapa negara berpenduduk majoriti Muslim.

Poster kempen tertera tulisan ‘Hentikan Islam radikal!’ dan ‘Hentikan ekstremisme!’, menampilkan seorang wanita yang memakai niqab hitam dipasang di sekitar bandar-bandar Switzerland.

Poster lain berbunyi: ‘Tolak undang-undang ‘anti-burqa’ yang tidak masuk akal, tidak berguna dan Islamofobia’.

Larangan itu antara lain bermaksud tidak membenarkan penutupan wajah sepenuhnya di tempat umum sama ada di kedai atau kawasan terbuka, namun pengecualian diberi untuk tempat ibadat.

“Selain tidak berguna, peraturan ini bersifat rasis dan seksis,” kata jurucakap kumpulan Purple Headscarves, Ines El-Shikh.

Kerajaan dan Parlimen menentang larangannya di seluruh negara.

Tempat mengundi akan dibuka beberapa jam pada Ahad dan stesen pengundian akan ditutup pada tengah hari dengan keputusan awal dijangka pada sebelah petang.

Tinjauan Pejabat Statistik Persekutuan 2019 mendapati sebanyak 5.5 peratus penduduk Switzerland adalah beragama Islam, kebanyakannya berasal dari Yugoslavia. -AFP