90 terbunuh dalam peperangan di Marib, Yaman

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
-Foto Sekadar Hiasan

DUBAI, 24 Rejab 1442 H, Isnin: Pertelagahan antara tentera sekutu kerajaan Yaman dan pemberontak Huthi yang disokong Iran, mengorbankan sekurang-kurangnya 90 pejuang daripada kedua-dua pihak, dalam tempoh 24 jam.

Pemberontak syiah berkenaan melancarkan serangan bagi menawan Marib, iaitu kubu terkuat di utara yang dikuasai pasukan tentera bersekutu kerajaan Yaman dan disokong tentera gabungan diterajui Arab Saudi.

Peperangan yang tercetus di wilayah penuh dengan minyak itu menyebabkan 32 terbunuh, termasuk pasukan bersekutu kerajaan dan pengikut setia kumpulan tertentu, selain 58 pemberontak Huthi dilaporkan meninggal dunia dalam serangan udara.

Sumber berkata, pertembungan berlaku di enam barisan hadapan, tatkala pasukan bersekutu kerajaan berupaya mematahkan serangan Huthi yang hanya mampu mara menerusi Kassara, di barat laut Marib.

Katanya, pertelagahan itu turut menyebabkan lebih 12 orang yang lain mengalami kecederaan.

Kehilangan Marib bakal mencetuskan kesan mendalam terhadap kerajaan Yaman, selain mengundang risiko kepada orang awam untuk menjadi pelarian dan memenuhi kem tertentu di sekitar padang pasir.

Ia dijangka turut memberi ‘tempias’ kepada Arab Saudi, yang selama ini menjadi sasaran peluru berpandu, dilancarkan pemberontak Huthi, dalam tempoh beberapa minggu lalu.

Serpihan dron, milik pemberontak Huthi yang dimusnahkan tentera Arab Saudi, semalam turut mencederakan dua orang awam, termasuk kanak-kanak berusia 10 tahun.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, yang mengumumkan penyaluran bantuan berjumlah AS$191 juta (RM778.13 juta) pada Isnin lalu menggesa pemberontak Huthi untuk menghentikan siri serangan di Marib.

“Bantuan ini akan mengakhiri konflik ini. Kita hanya boleh menamatkan krisis kemanusiaan di Yaman dengan menghentikan peperangan… justeru AS sedang menggerakkan saluran diplomatik ke arah usaha ini,” katanya.

AS setakat ini sudah merintis usaha untuk mengumpulkan AS$3.85 bilion (RM15.68 bilion) daripada lebih 100 kerajaan dan penderma, namun hanya AS$1.7 bilion (RM6.93 bilion) yang ditawarkan. – AFP