YANGON, 25 Rejab 1442 H, Selasa: Pihak berkuasa Myanmar menggali semula kubur remaja perempuan berusia 19 tahun yang maut akibat ditembak di kepala ketika menyertai satu tunjuk perasaan, baru-baru ini.
Lapor Reuters, seorang saksi berkata, mayat Kyal Sin atau juga dikenali sebagai Angel digali pada Jumaat lalu untuk diperiksa sebelum ditanam semula di Mandalay.
Tujuan kuburnya digali semula masih menimbulkan persoalan dan ketenteraan Myanmar sehingga kini enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.
Beberapa saksi yang melawat kubur Kyal Sin memaklumkan simen yang dicurah atas kuburnya masih belum kering sepenuhnya, selain terdapat sarung tangan getah yang mempunyai kesan darah, gaun pembedahan dan kasut but getah ditinggalkan.
Seorang saksi yang enggan dikenali menyatakan dia ternampak kubur Kyal Sin dikorek menggunakan peralatan oleh kira-kira 30 orang yang menaiki empat kenderaan dan dua trak polis serta tentera.
“Mereka mengeluarkan keranda dan mayat mangsa sebelum diletakkan atas kerusi dan mula menyentuh bahagian kepalanya.
“Kemudian, mereka mengambil sampel dari badan Kyal Sin dan ditunjukkan antara satu sama lain,” katanya.
Sementara itu, kira-kira 10,000 orang berhimpun di bandar ini semalam bagi meneruskan protes terhadap rampasan kuasa junta tentera walaupun pihak berkuasa melakukan serbuan pada waktu malam di daerah tertentu dan menangkap individu tanpa sebab.
Menurut video siaran langsung dalam Facebook, pihak polis melepaskan gas pemedih mata dan bom tangan di bandar Lashio yang terletak di utara wilayah Shan.
Seorang saksi berkata, polis melepaskan tembakan bagi menyuraikan kehadiran penunjuk perasaan di bandar tokong bersejarah di Bagan.
Setakat ini, tiada laporan terbaharu mengenai kematian dan protes yang merebak ke bandar lain berlangsung dalam keadaan aman. – AGENSI