Caruman Perkeso mungkin naik hingga RM2

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Lumpur: Kerajaan bercadang menaikkan kadar caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) antara RM1 hingga RM2 untuk pencarum Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, beliau memberi jaminan peningkatan itu tidak akan membebankan rakyat.

“Kita sedang mengkaji (menaikkan caruman) dalam masa terdekat. Saya bagi jaminan kepada rakyat Malaysia, peningkatan ini tidak akan membebankan mereka,” katanya ketika sidang media selepas menyaksikan majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kolaborasi Strategik antara Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) di sini, hari ini.

Saravanan berkata, pihaknya melihat terdapat permintaan tinggi daripada semua sektor untuk mencarum Perkeso.

“Rakyat mula sedar kebaikan perlindungan Perkeso, saya percaya dengan keadaan ini kita perlu menaikkan caruman sedikit tanpa membebankan rakyat.

“Kadar mungkin naik RM1 atau RM2 sebab kita sudah memperluaskan perlindungan keselamatan,” katanya yang mengesahkan sejak penubuhan Perkeso pada 1971, Akta 4 itu tidak pernah dipinda.

Sementara itu, melalui kenyataan media bersama Saravanan dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar berkata, KSM dan Medac menjalinkan kolaborasi strategik dalam pembangunan kapasiti golongan sasar khususnya usahawan mikro dan tidak formal dengan permeteraian tiga MoU.

“Dua daripada MoU ini membabitkan Perkeso bersama protege dalam pemerkasaan dan perluasan program itu.

“Selain itu, Perkeso bersama Tekun Nasional dalam pelaksanaan program Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), manakala MoU ketiga membabitkan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) bersama Institut Keusahawanan Negara (Insken) dalam memperkukuh dan meningkatkan kapasiti serta kemahiran usahawan melalui inisiatif pembangunan strategik,” katanya

Menurutnya, susulan penularan wabak Covid-19 di seluruh negara dianggarkan akan berlaku peningkatan usahawan mikro dan tidak formal daripada anggaran terkini seramai tiga juta orang.

“Ini berikutan corak peralihan semasa di mana lebih ramai beralih ke bidang keusahawanan dan tidak formal sebagai alternatif untuk menjana pendapatan,” katanya.

Sumber: My Metro