Polis Kelantan kesan pegawai dan anggotanya yang antivaksin

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Foto hiasan

Polis Kelantan mengesan segelintir pegawai dan anggotanya yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya akan memanggil golongan terbabit untuk bersemuka dan mendengar alasan berikutan keengganan itu.

Beliau berkata, pegawai dan anggota polis tidak seharusnya terpengaruh dengan perkara negatif mengenai vaksin Covid-19, sebaliknya perlu menjadi contoh kepada orang awam.

“Saya dapat tahu ada dalam kalangan pegawai dan anggota polis yang tersenarai sebagai penerima suntikan vaksin Covid-19 enggan disuntik dan akan panggil mereka untuk tahu masalah yang dihadapi.

“Kita tak mahu ada dalam petugas barisan hadapan ini tergolong dalam golongan antivaksin kerana mereka seharusnya menjadi contoh kepada orang ramai,” katanya kepada media di sini, selepas majlis Perhimpunan Bulanan di Dewan Dato’ Ab Rahman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Shafien berkata, setakat ini, hanya mereka yang menghidap penyakit kronik serta mengandung sahaja dikecualikan daripada menerima suntikan vaksin Covid-19.

Katanya lagi, wakil daripada Jabatan Kesihatan Negeri juga akan dijemput untuk memberi penerangan mengenai vaksin terbabit.

“Jika ada masalah berkait dengan kesihatan, ia boleh dikecualikan namun jika tidak, perlu sahut seruan kerajaan dan jangan sesekali terpengaruh dengan unsur negatif,” katanya.

Shafien berkata, daripada 3,922 pegawai dan anggota polis yang tersenarai, seramai 1,018 sudah menerima vaksin COVID-19 di seluruh Kelantan setakat ini.

Beliau berkata, untuk fasa pertama, seramai 2,547 pegawai dan anggota polis disenaraikan untuk menerima vaksin terbabit.

“Hari ini, kami bertolak ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan vaksin tambahan untuk keperluan tiga lagi daerah iaitu Kota Bharu, Kuala Krai dan Pasir Mas,” katanya.

SUMBER : MyMetro