Arab Saudi tukar Menteri Haji dan Umrah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Muhammad Saleh Benten.

LONDON, 1 Sya’ban 1442 H, Ahad : Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud semalam menggantikan Menteri Haji dan Umrah, Muhammad Saleh Benten, beberapa bulan selepas kerajaan itu menjadi tuan rumah ibadah haji terkecil dalam sejarah moden akibat pandemik COVID-19.

Portal The New Arab melaporkan, Muhammad Saleh Benten ditamatkan tugas sebagai Menteri Haji dan Umrah, kata agensi berita rasmi Arab Saudi (SPA), memetik keputusan kerajaan.

Beliau digantikan oleh Essam bin Saeed, yang akan mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Negara.

Arab Saudi menjadi tuan rumah ibadah haji tahunan pada akhir Julai lalu, pada skala terkecil dalam sejarah moden.

Hanya maksimum 10,000 penduduk Muslim Arab Saudi sahaja dibenarkan untuk mengerjakan ibadah haji tahun lalu, begitu kecil berbanding 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia yang mengerjakannya pada 2019.

Tidak jelas berapa ramai jemaah yang akan dibenarkan untuk menunaikan haji tahun ini, ketika pandemik COVID-19 masih berlanjutan.

Menurut akhbar Okaz yang prokerajaan, hanya mereka yang telah diberi vaksin COVID-19 kemungkinan akan dibenarkan mengerjakan ibadah haji tahun ini.

Ia melaporkan, awal bulan ini, pekeliling kementerian kesihatan menyatakan bahawa vaksinasi ‘akan menjadi salah satu syarat utama’ untuk layak mengerjakan ibadah haji.

Dalam kelonggaran pencegahan COVID-19 pada Oktober lalu, Arab Saudi membuka Masjidil Haram untuk solat pertama kalinya dalam tujuh bulan dan membuka semula ibadah umrah sepanjang tahun secara berperingkat.

Dalam keputusan kerajaan yang berasingan semalam, Abdulaziz Al Duailej dilantik sebagai Ketua Pihak Berkuasa Penerbangan Awam, ketika Arab Saudi bersiap sedia untuk mengakhiri sekatan perjalanan bagi warganya dan membuka kembali sempadannya mulai 17 Mei depan. – AGENSI