Kuala Terengganu: “Mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 adalah antara ikhtiar selain bertawakal kepada Allah,” kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menerima suntikan vaksin itu di Klinik Kesihatan Chendering, di sini, kelmarin.
“Usaha mencegah sebelum sakit itu sangat penting dan pengambilan vaksin adalah ikhtiar dalam usaha mencegah pandemik Covid-19 daripada merebak,” katanya.
Abdul Hadi, 74, antara penerima vaksin Covid-19 tertua di Malaysia selain bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, 96, dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, 95.
Menurut Abdul Hadi, beliau sudah biasa mendapat rawatan di hospital dan suntikan vaksin Covid-19 adalah perkara biasa buat dirinya.
Katanya, setiap dua minggu beliau akan ke hospital untuk menjalani pemeriksaan dan prosedur vaksinasi Covid-19 yang dijalani sama seperti rutinnya mendapatkan rawatan di hospital.
Sumber: My Metro