Kuala Terengganu: Keyakinan terhadap keberkesanan vaksin Covid-19 yang digunakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyebabkan jumlah pendaftaran untuk menerima vaksin berkenaan semakin meningkat.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Innovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, sehingga semalam, seramai 5.5 juta rakyat Malaysia sudah mendaftar menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula sejak 24 Februari lalu.
Katanya, dengan keyakinan yang ditunjukkan rakyat, pihaknya yakin program berkenaan dapat diselesaikan lebih awal daripada tempoh masa yang ditetapkan iaitu pada Mac tahun depan.
“Sehingga kini sudah 5.5 juta mendaftar dengan purata setengah juta orang mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera dan laman sesawang covid-19.com.my.
“Justeru, saya yakin Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ini dapat diselesaikan lebih awal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Semarak Dakwah 2.0 (Street Dakwah) sempena Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS) Terengganu 2021 dan pelancaran Sukarelawan Yayasan Dakwah Islam (Yadim) Terengganu di Perkarangan Pasar Payang, di sini, hari ini.
Ahmad Amzad berkata, pihaknya menjangkakan jumlah pendaftar akan terus meningkat apabila mendapat kerjasama di peringkat agensi kerajaan persekutuan, negeri dan sebagainya bagi membantu melancarkan proses pendaftaran khususnya golongan warga tua yang tidak mempunyai akses atau kemahiran mendaftar secara dalam talian.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, orang ramai juga dinasihatkan tidak memilih dan mempersoal jenis vaksin Covid-19 yang akan diterima mereka.
“Semua vaksin yang digunakan KKM berkesan dan selamat serta sudah mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
“Jadi rakyat tidak perlu bimbang dan risau jenis vaksin akan diterima kerana semua vaksin adalah sama sahaja,” katanya.
Sumber: My Metro