KABUL, 2 Sya’ban 1442 H, Selasa: Larangan kanak-kanak perempuan menyanyi di khalayak ramai yang dikenakan oleh pegawai pendidikan di ibu negara Afghanistan minggu lalu telah dibatalkan.
Ia berikutan satu kempen media sosial dilakukan termasuklah wanita tempatan memuat naik video mereka menyanyikan lagu-lagu kegemaran mereka.
Koir pelajar sekolah adalah pertunjukan biasa acara rasmi Afghanistan, tetapi apabila pihak berkuasa pendidikan di Kabul melarang penyertaan remaja, hal itu menimbulkan reaksi segera.
Arahan itu menimbulkan kebimbangan bahawa pegawai pendidikan menjadikan negara itu ‘Talibanisasi’, seperti kumpulan pihak berkuasa Islam melarang penyertaan wanita di luar kediaman mereka sendiri.
Semalam, Kementerian Pendidikan mengeluarkan kenyataan menyatakan larangan itu tidak menggambarkan kedudukan atau dasar kementerian.
Pengumuman itu selepas mendapat reaksi balas dari pengguna media sosial menggunakan tanda pagar “#IAmMySong” untuk meningkatkan kesedaran.
“Di Afghanistan hari ini, Kementerian Pendidikan menyekat suara gadis-gadis kecil kita dengan menjadikannya haram untuk mereka menyanyi.
“Mereka benar-benar mengajar anak perempuan bahawa mereka tidak mempunyai suara,” menurut ciapan bekas kapten pasukan bola sepak wanita kebangsaan, Shamila Kohestani.
Kontroversi itu timbul di tengah-tengah kebimbangan kemungkinan Taliban kembali berkuasa ketika Amerika Syarikat (AS) berusaha menarik baki tenteranya dari negara itu dalam beberapa minggu akan datang, berikutan perjanjian penting yang ditandatangani dengan pemberontak tahun lalu.
Rundingan damai antara Taliban dan pemerintah terhenti dalam beberapa bulan lalu, sementara kempen pembunuhan termasuk pembunuhan wanita Afghanistan yang berprofil tinggi menggegarkan negara itu.
Afghanistan terus menjadi antara negara yang paling menindas bagi wanita walaupun sudah berpuluh tahun mendapat bantuan antarabangsa dan kejatuhan Taliban. – AFP