Kosovo buka kedutaan di Baitulmaqdis selepas Israel

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PRISTINA, 2 Sya’ban 1442 H, Selasa : Kosovo secara rasmi membuka kedutaannya di Baitulmaqdis selepas menjadi wilayah Islam pertama mengiktiraf ibu negara Israel itu.

Langkah itu sebagai membalas sokongan Israel ke atas Kosovo dalam usahanya mendapatkan pengiktirafan dunia susulan kemerdekaan yang diumumkan pada 2008.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan, pembukaan kedutaan baharu itu dibuat dalam satu majlis menaikkan bendera wilayah berkenaan di Baitulmaqdis.

Keputusan Kosovo itu bagaimanapun mencetuskan kritikan di seluruh dunia terutama dalam kalangan negara Islam, antaranya Turki.

Kementerian Luar Turki dalam satu kenyataan menggesa Kosovo membatalkan keputusannya membuka kedutaan berkenaan sekali gus tidak mengiktiraf Israel.

“Kami meminta pemimpin Kosovo supaya berfikir dengan waras dan menarik balik langkah tidak bertanggungjawab ini, katanya.

Serbia sebelum ini tidak mengiktiraf kemerdekaan yang diumumkan bekas wilayahnya itu malah sekutunya, Russia dan China turut menolak usaha terbabit sehingga Kosovo gagal menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Israel pada bulan lalu menjalinkan kerjasama diplomatik dengan Kosovo.

Sebagai timbal balas, Kosovo mengikut jejak bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dengan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. – AFP