GAZA, 2 Sya’ban 1442 H, Selasa : Buat julung kalinya Parti Hamas yang mentadbir Gaza melantik seorang wanita dalam biro politiknya.
Rabu lalu Hamas mengumumkan pemilihan semula Yahya Sinwar sebagai ketua sayap politiknya di Gaza, sebuah wilayah miskin dengan dihuni dua juta penduduk Palestin.
Semalam, ia mengumumkan senarai 20 anggota biro politiknya melalui pemilihan dalaman menjelang pilihan raya legislatif pada 22 Mei dan pemilihan presiden pada 31 Julai, iaitu pilihan raya pertama Palestin dalam tempoh 15 tahun.
Menurut senarai rasmi yang dilihat oleh AFP antaranya adalah dua wanita, Jamila Al-Shantee dan Presiden Suruhanjaya Wanita, Fatima Shurab.
Menurut Hamas, Fatima dilantik ke kedudukannya, manakala Jamila menjadi wanita pertama yang dilantik ke biro politik.
Profesor Politik dan Media Universiti Islam Gaza, Adnan Abou Amer berkata Hamas ingin menyampaikan mesej positif kepada masyarakat antarabangsa dan seluruh wilayah dengan mengubah imejnya dan menunjukkan bahawa mereka bersikap terbuka.
Hamas, yang dianggap sebagai organisasi pengganas oleh banyak negara Barat, akan mengadakan pemilihan dalaman ketua umum dalam beberapa bulan akan datang , dengan penyandangnya yang berpangkalan di Qatar, Ismail Haniyeh dijangka bertanding menentang timbalannya Jamal al-Aruri dan bekas ketua Hamas, Khaled Meshal.
Pergerakan itu berperang dengan Israel sebanyak tiga kali sejak 2008.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa membuka kertas siasatan dan akan meneliti tuduhan jenayah perang yang mungkin dilakukan oleh Israel dan Hamas ketika konflik 2014. – AFP