Pengusaha bot penambang kian tersepit

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: “Walaupun tidak mendapat sambutan, saya perlu bertahan dan meneruskan perkhidmatan bot penambang ini,” kata Mohd Ibrahim.

Mohd, 74, dari Kampung Batin antara 15 pengusaha bot penambang di Jeti Bot Penambang Kampung Seberang Takir, di sini.

Katanya, perkhidmatan bot penambang sudah lama terpinggir dan tidak diperjuangkan mana-mana pihak dan nasib 15 pengusaha bot penambang itu hanya bergantung kepada jumlah pelanggan.

“Dua tahun lalu perkhidmatan itu masih mendapat sambutan kerana ramai penduduk menggunakanya selain pemberian bantuan sara hidup sebanyak RM200 sebulan oleh kerajaan negeri.

“Bagaimanapun bermula akhir 2018 bantuan bulanan itu tidak diteruskan menyebabkan pengusaha terhimpit dan semakin parah apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa pada Mac tahun lalu menyebabkan permintaan merudum.

“Nak harapkan penumpang dalam kalangan penduduk setempat tidak memadai, justeru kami bergantung sepenuhya kepada pelancong dan apabila PKP berkuat kuasa, industri pelancongan tidak dapat dijalankan,” katanya.

Menurutnya, pada dua tahun lalu, jumlah pendapatan pengusaha bot penambang itu sebanyak RM1,000 hingga RM1,500 sebulan, tetapi sekarang sekitar RM150 hingga RM300 sebulan.

“Kadang-kadang sehari nak dapat RM50 pun sukar maklumlah sekarang hanya bergantung kepada penduduk setempat yang ingin ke Bandaraya Kuala Terengganu dan masih menggunakan perkhidmatan kami.

“Penyediaan perkhidmatan Taxi Bot di Jeti Pasar Kedai Payang 2 (PKP2) secara tidak langsung memberi kesan ke atas perkhidmatan bot penambang tradisi itu,” katanya yang juga Pengerusi Persatuan Bot Penambang Seberang Takir.

Sumber: My Metro