KOTA BHARU-Polis Kelantan akan mengenakan tindakan saman kepada pembeli dan penjual makanan di persimpangan lampu isyarat bermula minggu ini.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mat Piah berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan berkenaan kerana perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan.
Menurutnya, jika didapati bersalah penjual dan pembeli terbabit boleh dihadapkan ke mahkamah dengan jumlah denda sehingga RM2,000.
“Sebelum ini pihak polis telah turun padang memberikan nasihat dan peringatan kepada mereka yang terlibat menjual di lampu-lampu isyarat.
“Bermula minggu ini, polis akan mengambil tindakan kerana perbuatan ini adalah satu kesalahan,” katanya kepada pemberita pada Selasa.
Katanya, tindakan boleh diambil terhadap pembeli dan peniaga di lampu isyarat mengikut Akta Lalulintas Jalan Raya dan tindakan boleh dikenakan di bawah 10A (1) LN 166/59 Peraturan Lalu Lintas Jalan Raya.
Tinjauan Sinar Harian juga pada Selasa mendapati penjualan makanan di persimpangan lampu isyarat masih lagi berlaku.
Didapati beberapa orang anak muda membimbit bungkusan makanan dan minuman menjual dalam cuaca panas terik di persimpangan lampu isyarat berhampiran Jambatan Sultan Yahya Petra, Jalan Kuala Krai dan Jalan Sultan Yahya Petra.
Pada Isnin, media melaporkan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, bukan sahaja penjual tetapi pembeli juga berdepan saman sehingga RM2,000 jika didapati bersalah membeli dan menjual produk di persekitaran lampu isyarat.
Katanya, aktiviti perniagaan itu adalah satu kesalahan kerana ia bukan sahaja membahayakan penjual, tetapi juga pengguna jalan raya.
Sumber: Sinar Harian