Kuala Lumpur: Cubaan pendatang asing tanpa izin (Pati) masuk ke negara ini dikesan masih berlaku meskipun Op Benteng berjalan tanpa henti.
Terbaharu, 19 Pati yang menaiki bot dari Batam, Indonesia ditahan selepas dikepung di Jeti Nelayan Sungai Rengit hingga ke Pantai Sungai Buntu, Kota Tinggi, Johor.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) mengesan pergerakan bot mencurigakan pada 4 pagi menuju ke Sungai Buntu.
Katanya, pada 6.30 pagi bot itu dikesan berada di pantai dan anggota Briged Ketujuh Infantri Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya menahan 11 Pati.
“Pada jam 7.15 pagi, lapan lagi Pati ditahan pasukan sama, manakala ada beberapa lagi yang berjaya meloloskan diri,” kata kenyataan itu.
Semua Pati berusia tujuh hingga 66 tahun ditahan kerana cuba masuk ke Malaysia menggunakan jalan tidak sah dan pasukan turut merampas wang tunai dan mata wang Indonesia bersama telefon bimbit serta barang kemas dengan nilai keseluruhan RM 22,856.
Kenyataan itu menyebut semua Pati itu dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.
Sumber: My Metro