Pegawai bomba meninggal bukan kerana vaksin Covid-19

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang menafikan dakwaan kematian seorang pegawai bomba mempunyai kaitan dengan pengambilan vaksin Covid-19 seperti yang tular di laman sosial.

Pengarahnya, Datuk Dr Bahari Che Awang Ngah berkata, berdasarkan siasatan, kematian pegawai berkenaan akibat serangan jantung, semalam.

Sehubungan itu, katanya, kematian pegawai berkenaan bukan kerana suntikan vaksin yang diterima pada 12 Mac lalu iaitu empat hari sebelum meninggal dunia.

“Berdasarkan rekod, Allahyarham mempunyai sejarah penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.

“Allahyarham pernah menjalani rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada Julai 2020 dan pakar mencadangkan menjalani pembedahan.

“Pada 14 Mac lalu, Allahyarham menerima rawatan di Hospital Raub kerana mengalami gejala serangan jantung,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, Allahyarham menerima rawatan sewajarnya dengan menggunakan alat bantuan pernafasan sebelum dirujuk ke Hospital Lipis.

Bagaimanapun, katanya, keadaan Allahyarham semakin tenat dan disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung, semalam.

“JKN Pahang mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan isu yang tular itu diberi perhatian serius dengan siasatan segera dilakukan.

“Dalam isu ini, JKN Pahang menyeru orang ramai supaya tidak menularkan maklumat tidak tepat bagi mengelak salah tanggapan terhadap vaksin Covid-19,” katanya.

Sumber: My Metro