Tokoh Ulama dan Ahli Tafsir Tafsir, Sheikh Ali al-Sabuni Meninggal Dunia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TURKI, 8 Sya’ban 1442 H, Isnin: Pada 19 Mac 2021, Umat Islam dikejutkan dengan pemergian Sheikh Mohamad Ali al-Sabuni, seorang Ulama yang masyhur dalam disiplin ilmu tafsir di Turki. Beliau telah dilahirkan pada tahun 1930 di daerah Halab, Syria. Ada pendapat yang mengatakan beliau lahir pada tahun 1928. Tokoh ini juga pernah menerima Anugerah Dubai pada 2007.

Syeikh Ali Al-Sabuni telah mendapat pendidikan pertama daripada bapanya, Syeikh Jamil yang merupakan seorang ulama Halab ketika itu. Jadi semasa kecil lagi beliau sudah mendpaat pendedahan awal mengenai ilmu agama. Selain itu, beliau juga telah menghafal al-Quran dan menyempurna hafazan di peringkat menengah. Di antara ulama-ulama Aleppo yang pernah menjadi gurunya adalah Syeikh Muhammad Najib Sirajuddin, Syeikh Ahmad Al-Shama, Syeikh Muhammad Sa’id Al-Idlibi, Syeikh Muhammad Raghib al-Tabbakh, dan Syeikh Muhammad Najib Khayatah.

Sheikh Ali al-Sabuni kemudiannya melanjutkan pengajian di Universiti al-Azhar al-Syarif dalam bidang pengajian syariah pada 1954. Beliau pernah bekerja sebagai pendidik di Halab sehingga tahun 1962. Beliau kemudiannya dipilih menjadi Pensyarah di Kuliah Syariah dan Pengajian Islam di sebuah universiti di Mekah al-Mukaramah selama hampir 30 tahun. Berkat ilmunya, beliau telah melahirkan banyak ulama dan anak murid di serata dunia termasuklah di negara bukan arab seperti Malaysia dan Indonesia.

Selepas itu, beliau berkhidmat sebagai penyelidik akademik di Universiti Ummu al-Quran di Pusat Kajian Ilmu dan Turath Islami serta perunding di Rabitah al-Alami al-Islami. Pengajaran Sheikh Ali al-Sabuni mendapat sambutan para penuntut ilmu dan dirakam lebih 600 siri program televisyen selama dua tahun.

KARYA SHEIKH ALI SABUNI

Sheikh Ali Sabuni telah menghasilkan lebih daripada 30 kitab yang sehingga kini masih menjadi rujukan penuntut ilmu. Antara kitabnya terutama dalam kalangan pelajar Malaysia ialah kitab Rawa’e al-Bayan iaitu sebuah kitab tafsir ayat hukum dalam al-Quran, al-Mawarith iaitu kitab berkaitan kaedah pembahagian harta pusaka, al-Tibyan fi Ulum al-Quran dan yang tersohornya ialah kitab Safwat al-Tafasir.

Karya Safwat al-Tafasir telah berpuluh kali diulang cetak dengan pelbagai penerbit. Ramai yang suka menggunakan dan membaca kitab ini kerana bahasanya yang mudah, penerangannya yang jelas dan mudah difahami.

Pemergiannya ditangisi seluruh dunia

Pemergian Syeikh Ali As Sabuni mendapat perhatian oleh Ulama Dunia iaitu Syeikh Yusuf Al-Qardawy. Selain itu, turut menangisi pemergian Sheikh As Sabouni ialah Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang menzahirkan takziah atas pemergian beliau. Ahli politik yang terkenal iaitu Dr Anwar Ibrahim juga turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian tokoh ulama tafsir ini.

Allahyarham Sheikh Ali al-Sabuni juga pernah hadir ke Malaysia menyeru rakyat Malaysia menentang kezaliman pihak kerajaan pimpinan Bashar Al Assad. Sesungguhnya Umat Islam telah kehilangan permata ulama tafsir. Meskipun Syeikh Ali Al Sabuni telah pergi, diharapkan penuntut ilmu terus menekuni karya-karya tafsir Syeikh Ali As-Sabuni.