Berenang tanpa memakai jaket keselamatan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Hulu Terengganu: Lelaki yang dikhuatiri lemas di Tasik Kenyir petang semalam, dikatakan hilang ketika berenang di kawasan rumah rakit di Sungai Petuang.

Mangsa, Ami Azzizol Abu Bakri, 22, dari Kampung Sungai Buaya, Dungun memasuki kawasan tasik bersama isteri, Syarifah Ramli dan sepupu, Ahmad Farud Rahmad.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, ketika berada di rumah rakit, mangsa terjun ke sungai jam 5.50 petang.

Katanya, kejadian itu disaksikan anak pemilik rumah rakit, Muhammad Fakhruddin Abdul Razak, 19, yang mendakwa melihat mangsa berenang di sungai tanpa memakai jaket keselamatan walaupun peralatan disediakan di rumah rakit berkenaan.

“Difahamkan, isteri mangsa turut melarang suaminya mandi kerana tidak memakai jaket keselamatan sebelum melihat lelaki itu terkapai-kapai meminta tolong dipercayai mengalami kekejangan otot,” katanya.

Katanya, anak pemilik rumah rakit yang menyaksikan kejadian itu cuba memberi pertolongan namun hampir lemas berikutan tindakan agresif mangsa memaut belakangnya sebelum tenggelam.

Menurutnya, polis menerima laporan berkaitan kejadian itu daripada keluarga mentua mangsa bagi mendapatkan bantuan jam 6.20 petang semalam.

Mohd Adli berkata, sebaik menerima laporan, operasi mencari dan menyelamat segera digerakkan ke lokasi kejadian yang mengambil masa selama kira-kira 45 minit menaiki bot laju dari Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir.

Menurutnya, seramai 46 anggota terbabit dalam operasi berkenaan membabitkan polis, bomba dan penyelamat Hulu Terengganu dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) selain orang awam dan Rela.

Katanya, usaha mencari mangsa sedang giat dijalankan namun sehingga kini tiada sebarang petunjuk.

Katanya, kawasan berkenaan tidak mempunyai liputan rangkaian telekomunikasi menyebabkan pihaknya sukar mendapat sebarang maklumat terkini.

Sumber: My Metro