Kontraktor buka zoo kampung untuk penduduk

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Kontraktor yang mempunyai minat mendalam dalam bidang penternakan menjadikan kawasannya seluas 0.4 hektar di Kampung Tok Dir di sini, sebagai zoo.

Menariknya, Zoo Kampung yang dikelilingi sawah padi itu dibuka sejak dua bulan lalu kepada orang ramai dan tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pengunjungnya.

Kontraktor berkenaan, Muda Abdullah, 63, berkata, dia sudah lama meminati bidang penternakan dan mula menternak lembu sado, kambing dan kerbau sejak tiga tahun lalu.

“Cuma selepas tempat penternakan saya ini tular di media sosial, ramai penduduk dan orang luar yang datang melihatnya.

“Secara tidak langsung ia dikenali sebagai Zoo Kampung sebelum mendapat idea dan terdorong untuk meluaskannya lagi.

“Terbaru, saya membeli burung unta, rusa dan pelbagai jenis haiwan unik lain seperti burung merak, burung kuang dan landak untuk ditempatkan di zoo itu sebagai daya penarik terbaru kepada pengunjung,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, dia membelanjakan lebih RM300,000 untuk membeli pelbagai jenis haiwan untuk ditempatkan di zoo itu selain menampung kos penyelenggaraan dan membina kandang haiwan berkenaan.

“Kos makanan yang dibelanjakan pada setiap hari untuk semua haiwan seperti arnab sebanyak 50 ekor, ayam (50), burung (20), rusa (10), landak (6), kerbau (2), lembu sado (8), kucing (6) dan kuda (5) mencecah RM800.

“Saya tidak kisah untuk berbelanja besar bagi menguruskan zoo ini kerana berasa puas apabila melihat pengunjung dan orang ramai ceria.

“Paling penting ia dapat memberi peluang kepada orang ramai melihat aktiviti tradisional petani yang mengusahakan sawah padi menggunakan bantuan kerbau,” katanya.

Menurutnya, selain melihat haiwan unik dan eksotik yang diternak, pengunjung juga diberi peluang bermain dengan haiwan itu.

“Aktiviti paling mendapat sambutan sekarang ialah bermain dan bergambar dengan burung dan menaiki kereta kerbau.

“Dianggarkan kira-kira 200 pengunjung datang ke Zoo Kampung setiap hari bermula 7 pagi hingga 7 malam,” katanya.

Sumber: My Metro