Lelaki rentung dalam kebakaran

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Sibu: Mayat rentung ditemui dalam kebakaran lima rumah di Jalan Tiong Hua 13, di sini, awal pagi hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat itu ditemui di rumah pertama.

Bagaimanapun katanya, identiti mayat dipercayai lelaki itu belum dikenal pasti.

“Bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 1.55 pagi dan 24 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu dibantu BBP Sungai Merah dikejarkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, didapati lima rumah jenis tidak kekal setingkat bertiang dengan empat daripadanya terbakar 100 peratus, manakala sebuah lagi terbakar 50 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mayat itu sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya lagi, operasi pemadaman kebakaran itu selesai pada 7.50 pagi.

Sumber: My Metro