Petaling Jaya: Polis akan memanggil penganjur pertunjukan fesyen di Damansara Perdana, di sini, pada 24 Mac lalu kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, berdasarkan semakan ke atas video tular mendapati semua tetamu melanggar SOP ditetapkan.
“Penganjur memuat naik pelbagai gambar di media sosial sepanjang majlis berlangsung yang dianggarkan dihadiri 50 tetamu.
“Tetamu didapati tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal ketika majlis berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, polis kini masih mengesan penganjur dan semua tetamu pada pertunjukan fesyen berkenaan.
Menurutnya, polis akan membuat semakan daftar kehadiran menerusi aplikasi MySejahtera dan kes disiasat mengikut Seksyen 22(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Terdahulu, tular gambar pengunjung pertunjukan fesyen yang melanggar SOP dimuat naik di media sosial sejak Sabtu lalu.
Pertunjukan itu dianjurkan pereka fesyen terkenal dan mengakui mereka melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Sumber: My Metro