KUALA TERENGGANU – Seramai 12 kumpulan penyelidik dari tujuh Universiti Awam (UA) di negara ini terpilih untuk menerima Geran Penyelidikan Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) 2021 dalam majlis yang diadakan pada hari ini.
Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Mohd Nor Hamzah berkata, Kerajaan Terengganu menyediakan dana berjumlah RM274,100 bertujuan untuk penghasilan penyelidikan dan pembangunan dasar awam yang strategik dan berimpak tinggi.
“Tahniah kepada 12 kumpulan penyelidik yang terpilih. Mewakili kerajaan negeri, saya berterima kasih kepada penyelidik dan universiti yang terlibat dalam membantu meningkatkan pembangunan dan kemajuan negeri ini.
“Saya juga mengharapkan agar usaha murni daripada penyelidikan ini akan dapat diperkembangkan dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Bagaimanapun, dalam kekangan kewangan yang ada, kita berusaha semaksima mungkin memanfaatkan dana yang diperuntukkan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan TSIS 2021 di Primula Beach Hotel, Kuala Terengganu di sini hari ini.
Hadir sama dalam majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif TSIS, Dr Wan Mat Sulaiman, Ahli Lembaga Pengarah TSIS, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan wakil-wakil daripada 12 kumpulan penyelidik.
Dalam perkembangan sama, menurut Mohd Nor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, harapannya adalah agar penyelidikan dan penghasilan yang dibuat dapat memberi manfaat kepada rakyat Terengganu khususnya.
“Kita akan menilai kertas-kertas cadangan lain yang dihantar mengikut keutamaan kerajaan negeri dari masa ke masa. Ia demi memastikan kesejahteraan rakyat dan visi negeri “Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera” benar-benar direalisasikan.
“Di samping semua perhatian tertumpu kepada membantu pelaksanaan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 dan moto Terengganu Maju, Berkat Sejahtera,” jelasnya.
Tambah beliau, penyelidikan jangka pendek dalam tempoh enam bulan ini akan bermula seawal April dan berakhir selewat-lewatnya pada November nanti.
Laporan akhir bagi kajian-kajian ini akan diserahkan berserta dengan cadangan dasar (policy recommendation) kepada Kerajaan Negeri Terengganu untuk diambil perhatian dan tindakan sewajarnya.
“Saya harap pelaksanaan semua kajian ini berjalan lancar dalam tempoh yang ditetapkan dan berjaya mencapai objektifnya,” ujarnya.
Sumber: TRDI NEws