Peniaga didenda RM3,000 miliki, jual cecair vape bernikotin

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kajang: Pemilik sebuah syarikat menjual cecair vape didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas kesalahan memiliki dan menjual 90 botol cecair vape mengandungi nikotin pada Januari 2018.

Pemilik Syarikat Eboy Jaya Resources, Mohd Taufik Mohd Puji, 37, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli.

Mengikut pertuduhan saman itu, dia didakwa bukan sebagai orang yang dilesenkan di bawah Akta Racun 1952 untuk menjual atau membekal racun dimiliki bagi jualan 90 botol cecair vape di sebuah premis di Jalan Reko Sentral 2, di sini, 29 Januari 2018.

Justeru, dia didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 32 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara, jika sabit kesalahan.

Jika gagal membayar denda itu, OKS berdepan hukuman penjara dua bulan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Bahagian Perkhidmatan Farmasi Jabatan Kesihatan Selangor Fairuz Khan Mohamed Ali, manakala OKS tidak diwakili peguam.

Sumber: My Metro