Kurang oksigen, air keruh, perubahan cuaca punca ikan mati

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Perubahan cuaca, kekeruhan air yang tinggi dan kekurangan oksigen antara faktor menyebabkan ikan sangkar milik penternak di Sungai Pahang dekat Kampung Lada, Jerantut, mati sejak Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, selain itu kepadatan ikan yang tinggi menambahkan lagi tekanan kepada ternakan itu, menyebabkan berlakunya kecederaan dan meningkatkan risiko jangkitan parasit.

Katanya, punca itu diperoleh pihaknya selepas pemeriksaan dan analisis awal makmal Biosekuriti Perikanan Kuantan selain temu bual dengan pengusaha.

“Kekeruhan air sungai yang tinggi berlaku akibat hujan selama tiga hari berturut-turut.

“Berdasarkan kiraan keluasan sangkar pula, seharusnya kadar pelepasan ikan adalah separuh dari kuantiti sedia ada,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Bagi memastikan kejadian tidak berulang, Abdullah berkata, pihaknya akan memantau tapak sangkar setiap minggu dan memberi khidmat nasihat dari semasa ke semasa.

Beliau juga menyarankan penuaian ikan dibuat sebaik ternakan mencapai saiz pasaran yang wajar, penternak mengurangkan kepadatan ikan dalam sangkar dan membuat penyelenggaraan sangkar kerap supaya sentiasa bersih.

“Kursus kesedaran Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) kepada penternak ikan sangkar juga akan diadakan,” katanya.

Media semalam melaporkan keluhan penternak ikan sangkar di sepanjang Sungai Pahang dekat Jerantut Feri yang kerugian lebih RM100,000 selepas ribuan ikan yang diternak mati sejak Ahad lalu.

Sumber: My Metro