Lebih 10,000 Anak Pokok Terjual Dalam Masa Setengah Hari

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

 Lebih 10,000 anak pokok habis dijual dalam masa tidak sampai setengah hari sempena Hari Terbuka Jabatan Pertanian 2021 di Ajil, kelmarin.

Pengetua di Kompleks Pertanian Negeri Ajil, Hulu Terengganu, Mohd Fauzi Mohd Zin yang menyelia proses jualan memaklumkan, setakat jam tiga petang, hanya anak pokok durian belanda yang berbaki.

“Untuk jualan, kami ada empat jenis anak pokok iaitu durian musang king, limau kasturi, durian belanda dan lemon dengan harga yang ditetapkan kerajaan iaitu RM12 bagi durian musang king, RM7 (durian belanda) dan RM4 bagi lemon dan limau kasturi.

“Itupun kami terpaksa hadkan tiga anak pokok sahaja bagi seorang pembeli kerana sambutan terlalu hangat,” katanya.

Tambahnya, sebagaimana nasihat Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Azman Ibrahim, jabatan perlu melibatkan petani dalam program mengeluarkan anak benih pokok sendiri.

“Potensi pertanian itu ada. Apabila kita libatkan petani secara langsung, jabatan cuma perlu bertindak sebagai fasilitator.

“Apa yang penting, kita perlu memberikan pendidikan tentang pertanian supaya petani dapat bercucuk tanam dengan cara yang betul sejak awal supaya mereka dapat mengeluarkan hasil terbaik,” katanya.

Sumber: TRDI News