Port Dickson: Kematian seorang guru wanita berusia 54 tahun yang didakwa disebabkan pengambilan vaksin Covid-19 adalah tidak benar seperti yang tular dalam media sosial dan disebarkan orang ramai baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, berita kematian guru itu tular di media sosial sejak 2 April lalu yang menimbulkan keresahan ramai.
Berita yang tular ini adalah tidak benar dan pihak polis menafikan punca kematian mangsa adalah disebabkan vaksin yang diambil pada 30 Mac lalu.
“Berita yang tular ini adalah tidak benar dan pihak polis menafikan punca kematian mangsa disebabkan pengambilan vaksin.
“Ini kerana siasatan awal pihak hospital mendapati mangsa meninggal dunia mempunyai rekod rawatan penyakit kronik iaitu sakit kencing manis, jantung dan darah tinggi sejak setahun lalu,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Katanya, pada 1 April (Khamis) lalu, jam lebih kurang 10.30 malam, mangsa mengalami sawan ketika berada di rumah dan dikejarkan ke Hospital Port Dickson untuk menerima rawatan.
“Mangsa diberikan rawatan namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di Hospital Port Dickson pada jam 12.20 tengah malam, 2 April lalu.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat penyebaran berita tidak benar atau sebarang kenyataan di media sosial yang boleh mengelirukan masyarakat,” katanya.
Aidi Sham berkata, tindakan tegas akan diambil mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
Sumber: My Metro