180 hilang tempat berteduh, rumah panjang terbakar

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Miri: Seramai 180 penduduk daripada 24 keluarga di Rumah Panjang Jeff Anchum di Bukit Limau Tinjar, di sini, hilang tempat berteduh selepas kediaman mereka terbakar, jam 7.30 malam tadi.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng, sepasukan anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak 117 kilometer dari Miri sejurus menerima panggilan pada jam 8.16 malam.

Menurutnya, pasukan bomba dari BBP Lopeng sedang dalam perjalanan yang mengambil masa hampir tiga jam menuju ke rumah panjang berkenaan.

“Pada masa sekarang, pihak kita belum pasti sama ada kenderaan dan jentera bomba dapat sampai ke lokasi kejadian disebabkan faktor jalan balak yang menuju ke rumah panjang yang agak licin dan berbahaya selepas hujan lebat melanda kawasan terbabit,” katanya.

Katanya, maklumat awal yang diterima mengesahkan rumah panjang jenis tidak kekal itu musnah sepenuhnya kerana kawasan terbabit yang terletak jauh di pedalaman dan tidak mempunyai balai bomba berdekatan.

Menurutnya, kawasan terbabit tidak mempunyai rangkaian telekomunikasi yang baik menyebabkan agak sukar penduduk setempat menghubungi talian kecemasan.

“Setakat ini, semua penghuni dilaporkan dapat lari menyelamatkan diri dan kejadian tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa,” katanya.

Katanya, siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengetahui punca kebakaran serta kerugian yang dialami penduduk terjejas.

Sumber: My Metro