Kuching: Wanita cedera parah di kepala selepas van dipandu suaminya melanggar ambulans di lampu isyarat Jalan Datuk Marican Salleh, di sini, hari ini.
Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan dilaporkan jam 10.15 pagi ketika ambulans dari Klinik Tanah Putih itu membawa seorang pesakit wanita berumur 23 tahun yang mengadu lemah badan.
“Ketika sampai di Jalan Datuk Marican Salleh semasa lampu isyarat hijau, tiba-tiba ambulans dilanggar oleh sebuah van yang keluar dari simpang kiri.
“Akibat perlanggaran itu, pemandu van cedera ringan dan isterinya cedera parah di kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang berusia 43 tahun kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS) manakala suaminya yang berusia 38 tahun dirawat di zon kuning HUS.
Sementara pemandu, pegawai perubatan, jururawat termasuk pesakit dan adik pesakit yang berada di dalam ambulans berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Alexson berkata, siasatan awal mendapati punca kemalangan disebabkan pemandu van tidak peka dengan siren kecemasan ambulans berkenaan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Alexson berkata, satu lagi kemalangan yang turut membabitkan ambulans dilaporkan di Kilometer 52 Jalan Sri Aman – Kuching, menyebabkan seorang warga emas berusia 69 tahun dari Rumah Jun, Rapak Tepus, Pantu meninggal dunia.
Katanya, kejadian dilaporkan jam 8.45 malam kelmarin ketika ambulans dari Klinik Kesihatan Pantu terbabit dalam perjalanan menuju ke Lachau untuk mengambil mangsa kemalangan jalan raya.
“Semasa dalam perjalanan, ambulans terbabit melanggar mangsa yang melintas jalan di kawasan Rapak Tepus A.
“Mangsa pejalan kaki mengalami cedera parah di kepala dan meninggal dunia dalam perjalanan menuju ke Hospital Sri Aman,” katanya.
Alexson berkata, kes dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987.
Sumber: My Metro