KELANTAN United tersungkur di laman sendiri apabila tewas 0-2 kepada Kelantan FC dalam aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu di sini sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, penyerang import Kelantan FC, Jack Hindle meletakkan The Red Warriors (TRW) di hadapan seawal minit ke-15 menerusi sepakan penalti yang menewaskan penjaga gawang tuan rumah, Mohamad Fikri Che Soh.
Kecekapan Mohamad Fikri terus diuji menerusi sepakan percuma Natanael Ringo pada minit ke-20, namun gagal menepati sasaran sekaligus mengecewakan pelawat untuk menambah jaringan.
The Green Deers cuba bangkit selepas itu menerusi dua percubaan menarik pada minit ke-38 dan minit-minit akhir perlawanan.
Cubaan Kelantan United pada minit ke-38 itu hadir menerusi tandukan Gassama Alfusainey, namun gagal menepati sasaran.
Selepas itu, Mohamad Qayyum Marjoni Sabil mempersiakan peluang untuk menyamakan kedudukan apabila sepakan percumanya sekadar melewati gawang gol pelawat.
Bersambung babak kedua, tuan rumah cuba bangkit menerusi beberapa percubaan, namun dihampakan oleh ketumpulan penyudah.
Pelawat sebaliknya lebih bernafsu untuk menambah jaringan apabila rembatan Hindle pada minit ke-52 sekadar melintasi pintu gol tuan rumah meskipun Mohamad Fikri sudah tertewas.
Kelantan FC terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Hindle dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-63 selepas mengasari Shuhei Fukai.
Kesempatan itu kemudian dimanfaatkan tuan rumah, namun ketumpulan penyudah terus menghantui Kelantan United.
Sisa perjuangan Kelantan United FC ‘dilumpuhkan’ oleh Nursyamil Ghani apabila meledakkan gol kedua pada masa tambahan babak kedua.
Keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan menyaksikan Kelantan FC mencuri tiga mata di Kota Bharu.
Sumber: Sinar Harian