Jangkitan Harian COVID-19 Di Terengganu Melonjak

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Angka kes COVID-19 di Terengganu semakin meningkat apabila 44 kes baharu direkodkan sehingga jam 12 tengah hari semalam.

Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes di Terengganu melonjak kepada 3,723 orang dengan 126 pesakit masih dalam rawatan.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nur Azimi Yunus berkata, 24 kes yang dilaporkan hari ini adalah daripada Kluster Belaoh.

“Ini menjadikan jumlah kes COVID-19 daripada Kluster Belaoh adalah seramai 49 orang. Sekelip mata daerah Besut bertukar menjadi zon merah,” katanya dalam satu kenyataan di facebook rasminya.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, kes dijangka lebih teruk sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dilaksanakan di kawasan terbabit.

“Bayangkan jika kita tidak laksanakan PKPD di kawasan tersebut. Kemungkinan akan berlaku kluster yang besar di daerah Besut akibat pergerakan bebas kes positif yang ramai itu.

“Pergerakan rentas negeri dari Besut ke Kelantan pun sangat rutin disebabkan pergerakan penduduk yang keluar masuk kerana urusan kerja. 

“Kluster Tanjung yang baru didaftarkan pun juga akibat rentas negeri,” jelasnya.

Sumber: TRDI News