Pahang benar tarawih, aktiviti Ramadan sehingga 10 malam

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Kerajaan Pahang membenarkan solat tarawih dan aktiviti keagamaan dilaksanakan sepanjang Ramadan di masjid dan surau negeri itu, namun perlu berakhir antara 9.45 malam hingga 10 malam.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, amalan Ramadan boleh dihidupkan di institusi itu, dengan jumlah jemaah adalah mengikut kapasiti ruang solat yang disediakan mengikut pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, pihak pengurusan masjid dan surau bertanggungjawab mengawal dan memastikan semua pihak sentiasa mematuhi SOP.

“SOP dari segi pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu dan pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera, PahangGo atau buku kehadiran serta membawa sejadah sendiri bersaiz besar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Wan Rosdy berkata, jika berlaku kes pelanggaran SOP dan penularan wabak Covid-19, kebenaran untuk menjalankan aktiviti Ramadan akan dibatalkan.

Katanya, pihak pengurusan masjid dan surau hendaklah mematuhi pekeliling dan arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

“Antara aktiviti yang tidak dibenarkan ialah menjemput imam dan penceramah dari luar Pahang, penyertaan pelajar sekolah berasrama, jemaah di bawah umur tujuh tahun dan bermalam di masjid dan surau.

“Selain itu, penyediaan makanan secara gotong-royong di masjid dan surau juga tidak dibenarkan,” katanya.

Beliau berharap umat Islam dapat menunaikan ibadah pada Ramadan dalam suasana yang baik dan sentiasa mematuhi SOP untuk mencegah penularan Covid-19.

Sumber: My Metro