KUANTAN, 12 APRIL 2021: Seramai 80 mangsa dalam kejadian ribut pada 25 Mac lalu di Balok menerima bantuan kewangan daripada Kerajaan Pahang berjumlah RM58,000.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan tersebut diberikan kepada semua mangsa bagi meringankan bebanan mereka terutama melibatkan kerosakan kediaman masing-masing.
“Alhamdulilah Kerajaan Negeri telah memberikan pelbagai bantuan kepada rakyat di negeri ini sama ada bantuan pendidikan dan bencana alam.
“Kesemua bantuan ini dapat diberikan dan dikongsikan bersama rakyat kerana kedudukan kewangan Kerajaan Pahang yang kukuh dan stabil,” katanya berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Bencana Ribut di Dewan Orang Ramai Balok, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB Dato’ Abd Rahim Muda dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, YB. Tuan Haji Andansura Rabu.
Dalam perkembangan lain, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berharap umat Islam yang akan menyambut bulan puasa pada esok dapat menjalani ibadah sebaik mungkin dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan agar dapat bersama-sama menikmati bulan ibadah di samping mengekang penularan wabak COVID-19. –
Sumber: PAHANGMEDIA