Chukai : Tindakan lelaki merentas negeri kononnya untuk membantu rakan yang kehabisan minyak membawa padah selepas dia ditahan bersama dadah di sekatan jalan raya (SJR) di kawasan rawat dan rehat (R&R) dekat Perasing, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, suspek berusia 29 tahun dari Taman Tas, Kuantan itu ditahan pada 4.50 petang.
Menurutnya, sebelum itu, suspek yang memandu kereta berhenti di SJR di situ dan gagal mengemukakan surat rentas negeri.
“Suspek yang dalam keadaan mencurigakan itu memberi alasan perlu menolong rakannya yang kehabisan minyak di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
“Kita dapati suspek tiada bukti untuk membantu rakannya kerana tiada penemuan botol ditemui di dalam kenderaannya,” katanya di SJR Perasing, hari ini.
Hanyan berkata, hasil pemeriksaan, polis menemui dadah yang dipercayai jenis syabu dengan anggaran berat 400 gram dan 140 biji pil kuda.
“Pemeriksaan lanjut menemui ikatan wang tunai berjumlah RM10,000 serta sebuah alat penimbang.
“Siasatan awal yang dijalankan mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah dan dia (suspek) menjalani hukuman buang daerah dan baru enam bulan dibebaskan,” katanya.
Katanya,pihaknya akan teruskan siasatan berhubung bekalan dadah yang diperolehi suspek.
“Suspek akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah,” katanya.
Sumber: My Metro