Bentong: Didakwa mempunyai tunggakan cukai oleh ‘pegawai’ Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), seorang lelaki kerugian RM111,300 selepas terperdaya dengan helah sindiket Macau Scam.
Dalam kejadian kelmarin, mangsa yang berusia 52 tahun menerima panggilan telefon daripada seorang wanita dengan memperkenalkan diri sebagai nama Anisah Hasan dan mengaku dari LHDN Putrajaya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita itu memberitahu bahawa yang mangsa mempunyai tunggakan cukai di LHDN sebanyak RM26,800.25 sebelum panggilan berkenaan kononnya disambung kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan seterusnya ke Bukit Aman.
“Selepas itu, mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘ACP Hafiz’ dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.
“Panggilannya disambungkan pula kepada seorang lagi lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘ACP Mohd Afiq Azmi’.
“Lelaki itu memberitahu kesemua wang mangsa perlu dipindahkan ke akaun bank TPA Bank Negara untuk pembekuan aset dan suspek meminta nama pengguna dan kata laluan akaun bank milik mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya menerima mesej dari pihak bank bahawa ada pihak membuat transaksi sebanyak lapan kali.
Menurutnya, mangsa yang mula curiga kemudiannya membuat semakan dengan bank dan didapati wangnya sebanyak RM111,300 sudah dipindahkan.
Katanya, mangsa yang menyedari dirinya ditipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Sumber: My Metro