Kuala Terengganu: Kerajaan negeri tidak mengeluarkan sebarang arahan larangan untuk mengadakan majlis berbuka puasa di hotel.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri tidak menerima sebarang arahan larangan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Bagaimanapun, menurutnya, pengurusan hotel diminta mengutamakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam melaksanakan program atau majlis itu.
“Antara SOP perlu dipatuhi adalah penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, melakukan ujian suhu badan dan menghadkan jumlah pengunjung berdasarkan kapasiti dewan dan tidak menerima tempahan berbuka puasa secara berkumpulan.
“Kebenaran berbuka puasa di hotel hanya membabitkan kumpulan individu serta ahli keluarga terdekat sahaja dan majlis berbuka perlu diadakan secara tempahan,” katanya.
Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Alor Limbat berkata, pengusaha hotel juga diminta memastikan bilangan pelanggan hanya 50 peratus kapasiti restoran atau dewan.
“Setakat ini, tiada larangan khas dikeluarkan MKN dan KKM kepada pengurusan perhotelan untuk penganjuran majlis berbuka puasa.
“Kerajaan menganggap majlis berbuka puasa di hotel dibenarkan sehingga ada arahan dan larangan baharu dikeluarkan,” katanya.
Sumber: My Metro