3 faktor tidak produktif di bulan Ramadan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Bulan Ramadan merupakan bulan di mana umat Islam di seluruh dunia akan berpuasa iaitu menahan diri dari makan dan minum serta melakukan maksiat. Berdasarkan kajian terdapat kes di mana produktiviti kerja menurun semasa bulan Ramadan.

Antara contoh kes adalah, ada yang menggunakan alasan bahawa Ramadan menyebabkan mereka cepat letih, sehingga menyebabkan mereka tidak hadir bekerja dan tidak hadir ke kelas. Ada juga yang menggunakan alasan bahawa puasalah yang menyebabkan mereka mudah marah dan tidak mampu mengawal emosi.

Faktor Tidak Produktif

Meskipun begitu sebenarnya bukan puasa yang menjadi faktor mereka tidak produktif tetapi faktor-faktor lain seperti :

1. Berjaga malam

Apabila seseorang individu tidur lewat seperti bermain permainan video, menonton rancangan drama bersiri secara tidak langsung ia akan memberi kesan kepada aktiviti puasanya pada siang hari.

Ini kerana tenaga telah pun digunakan pada waktu malam, jadi pada waktu siang aktiviti berpuasa akan menjadi semakin meletihkan akibat faktor mengantuk, tidak puas tidur dan sebagainya.

Jadi pada waktu siang disebabkan keletihan dan rasa mengantuk tersebut, individu yang berjaga malam akan tidur tanpa solat subuh sehinggalah berjam-jam lamanya. Apabila bangun, matahari sudah pun tinggi dan perut pula rasa lapar kerana tenaga telah digunakan semasa waktu tidur. Justeru, Kesan berjaga malam akan menyebabkan puasa pada waktu siang akan terganggu sepenuhnya.

2. Makan terlalu banyak

Sesetengah orang yang berpuasa merasakan bahawa mereka perlu melempiaskan semula kelaparan mereka yang kelaparan kerana berpuasa pada siang hari dengan makan dalam kuantiti yang banyak.

Kesan makan terlalu banyak akan menyebabkan munculnya rasa malas dan mengantuk. Justeru, kita akan sukar untuk melakukan ibadah kerana rasa mengantuk. Badan juga rasa berat, lemah dan tidak selesa.

Dalam pada masa yang sama, dengan makan terlalu banyak, puasa yang sepatutnya menyihatkan tidak terjadi sebagaimana yang sepatutnya. Kerana apabila seseorang individu makan dengan banyak, dia sebenarnya memakan banyak garam, gula yang sebenarnya tidak bagus apabila diambil dengan kuantiti yang banyak.

3. Bermain gajet tanpa had

Jika pada zaman dahulu, anak muda gemar bermain permainan sesama mereka, namun kini agak berbeza di mana semuanya berhubung melalui internet.

Benar, sekarang ini segala informasi boleh diakses melalui gajet. Namun begitu, gajet juga boleh memudaratkan dan menjadikan seseorang ketagih.

Apabila seorang tidak dapat mengawal dirinya bermain gajet, risikonya akan menyebabkan produktiviti seseorang itu terjejas. Kerana ketagihan gajet akan menyebabkan seseorang itu akan melekat dengan telefon setiap hari.

Bagaimanakah konsep produktiviti di bulan Ramadan

Menurut Mohamed Faris penulis buku The Productive Muslim, definisi ramadan yang produktif tidak hanya memberi tumpuan semata-mata pada sisi spiritual Ramadan sahaja dan mengabaikan produktiviti prestasi kerja.

Namun untuk menghasilkan Ramadan yang produktif perlu bermula dengan menanyakan kepada diri sendiri soalan ini : “Bagaimana caranya saya dapat menjadi versi terbaik diri saya – iaitu secara rohani, fizikal, dan sosial sepanjang tempoh bulan Ramadan ini?”

“Jika ramai umat Islam yang berfikir akan soalan ini, kemudian berusaha untuk menjadi lebih produktif dan sihat maka mungkin dalam beberapa tahun lagi kita akan mendapat hasil kajian yang berbeza dari Harvard Kennedy School of Government, yang menyatakan bahawa Ramadan bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan di kalangan umat Islam, bahkan dapat meningkatkan prestasi dan produktiviti ekonomi.

Apa yang dapat disimpulkan dari pandangan Mohamed Faris adalah setiap umat Islam perlu berfikir cara untuk menjadi lebih baik terutama sekali di bulan Ramadan.