Kuala Nerus: Kegagalan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) menyebabkan pengusaha dan peniaga bazar Ramadan bimbang terpaksa menghentikan operasi.
Walaupun teguran dan nasihat supaya melakukan penjarakan sosial ketika memilih dan menunggu juadah dibungkus, namun ia tidak diendahkan sebahagian pengunjung.
Seorang pengusaha bazar Ramadan, Fazal Basri, 30-an, mengeluarkan modal melebihi RM120,000 untuk menganjurkan bazar Ramadan di kawasan Jambatan Angkat.
Katanya, modal itu digunakan untuk menyewa dua tandas bergerak, kanopi khas untuk surau dan kanopi besar bagi menempatkan peniaga.
“Kami sudah menyediakan pelbagai kemudahan dan kelengkapan sebagai mematuhi SOP bazar Ramadan seperti ditetapkan kerajaan.
“Kami juga mematuhi setiap arahan kerajaan termasuk menjarakkan kedudukan gerai pada jarak 1.5 meter antara satu sama lain, menyediakan satu laluan keluar dan masuk, menyediakan peralatan pengimbas suhu badan selain pengimbas Kod QR MySejahtera,” katanya.
Sementara itu, peniaga, Mohd Hairi Abu Talib, 30, dari Sungai Tong, berkata, pengusaha dan peniaga sudah mematuhi dan menyediakan semua keperluan berkaitan dengan SOP seperti ditetapkan kerajaan.
Jelasnya, semua SOP ke atas pengusaha dan peniaga sudah dilakukan terutama pemakaian pelutup muka.
“Kami berada dalam keadaan serba salah untuk menegur sikap pengunjung yang tidak menghiraukan teguran supaya tidak berhimpit dan melakukan penjarakan sosial.
“Jika kerap ditegur, mereka akan berkecil hati dan membatalkan pesanan,” katanya sambil merayu pengunjung supaya sentiasa akur dengan SOP termasuk menjarakkan diri ketika berada ditapak bazar Ramadan.
Sumber: My Metro