Kuantan: “Hari pertama puasa memang penat dan dahaga hingga hampir berbuka ketika tengah hari, lebih mencabar lagi apabila sakit perut.
“Namun saya tetap kuatkan semangat untuk meneruskannya hingga tiba waktu berbuka. Sokongan rakan dan ustazah menambahkan lagi semangat saya untuk terus berpuasa,” kata remaja Orang Asli, Shariza Zainal, 18, menceritakan pengalaman pertama kali berpuasa tahun ini.
“Selepas empat hari, keadaan semakin selesa dan rasa dahaga serta lapar mulai berkurangan, malah mula terasa seronok terutama setiap kali menunggu waktu berbuka.
“Waktu berbuka masa yang ditunggu apabila dapat makan dengan 60 kawan-kawan lain, selain ustazah dan ustaz yang sentiasa memberi sokongan.
“Saya suka makan karipap dan kuih popia, selepas solat Maghrib secara berjemaah, nasi menjadi hidangan wajib yang dimakan sebelum tiba waktu bersahur,” katanya.
Shariza adalah seorang daripada peserta Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (PETAMA) Tanjung Lumpur, di sini.
Terdapat 60 remaja Orang Asli belajar di PETAMA, dengan enam daripada mereka kali pertama berpuasa.
Dia yang berasal dari Kampung Moi, Cameron Highlands berkata, dia berminat dengan Islam sejak di bangku sekolah namun hanya berpeluang melafazkan syahadah lima bulan lalu.
“Mimpi solat di surau bersama penduduk kampung menjadi pendorong saya untuk memeluk Islam, ia dikuatkan lagi dengan sokongan keluarga,” katanya yang berketurunan suku kaum Semai.
Bagi Rusali Gari, 26, yang berasal dari Kampung Kedaik, Rompin, berkata, sebelum ini dia hanya melihat kakaknya berpuasa, namun tahun ini dia merasai sendiri pengalaman itu.
“Syukur selepas empat hari berpuasa keadaan sudah dapat dikawal, walaupun lapar dan dahaga namun tidak terlalu penat,” kata anak ke lima daripada sembilan beradik yang memeluk Islam lebih lapan bulan lalu.
Sumber: My Metro