Lelaki berang ditegur gagal patuh SOP sudah ditahan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Seremban: Sudahlah tidak memakai pelitup muka dan gagal mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP), seorang lelaki berusia 50 tahun mengugut dan mencederakan individu yang menegur tindakannya itu.

Kejadian yang berlaku di kedai Mas Bukti di Senawang dekat sini tular di media sosial sejak petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, lelaki berusia 50 tahun itu ditahan di Senawang kira-kira 10 malam tadi.

“Siasatan awal mendapati suspek tidak berpuas hati apabila ditegur mangsa kerana tidak memakai pelitup muka.

“Suspek juga tidak menjalani saringan suhu badan serta tidak menulis nama di buku yang disediakan. Lelaki itu mengugut serta bertindak mencederakan dengan mencekik mangsa di dalam kedai berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, suspek akan direman di Mahkamah Seremban dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 atau 323 Kanun Keseksaan.

“Suspek juga akan dikenakan kompaun kerana gagal patuh SOP,” katanya.

Tular sebuah video berdurasi 1.16 minit di laman sosial memaparkan seorang individu yang tidak memakai pelitup muka mencekik seorang lelaki di sebuah kedai.

Sumber: My Metro